Naskhah ini dah lama berada ditangan aku. Arwah Hafiz temukan aku dengan buku ini. Aku baca. Cuma kali ini aku review untuk perkongsian dari pemahaman aku. Juga untuk Hafiz.
Bagi jiwa-jiwa yang ingin berjuang dalam jalan Allah, maka aku cadangkan buku ini untuk merangsang jiwa-jiwa mereka. Abu Dzar Al-Ghifari adalah diantara sahabat akrab RasulAllah SAW semasa hayat sehinggalah wafatnya Baginda SAW. Abu Dzar adalah seorang mukmin yang sejati dari suku kaum Ghifar yang mendiami padang pasir yang tandus dan miskin di Rabadzah. Karektor kaum Ghifar ini terkenal dengan sifatnya yang degil, jahat, suka melanggar undang-undag, ganas, suka merompak dan miskin.
Dalam buku ini menceritakan 2 zaman kehidupan Abu Dzar iaitu ketika zaman bersama Nabi SAW dan zaman setelah Baginda SAW wafat. Buku ini juga menceritakan perjalanan seorang muslim yang keempat ini bertemu RasulAllah SAW dan terus menaruhkan nyawa, harta dan keluarga demi bersama-sama meluaskan risalah Baginda Nabi SAW.
Setelah wafatnya RasulAllah SAW, Abu Dzar memainkan peranan yang sangat besar dalam kebangkitan umat Islam menentang pemerintahan zalim. Semasa zaman pemerintahan Khalifah Uthman Ibn Affan iaitu khalifah Ar-Rasyidin yang keempat, Ab u Dzar dilabelkan sebagai seorang yang sangat keras kepala, degil, tabah, takwa dan telah banyak mendatangkan masalah kepada pemerintahan dan pentadbiran Khalifah Utsman pada waktu itu.
Abu Dzar menyatakan bahawa Saidina Uthman telah tersasar dari gaya pemerintahan Islam yang dibawa oleh RasulAllah SAW. Abu Dzar menegaskan wujudnya sistem diskriminasi antara golongan pemerintah dan golongan bawahan semasa pemerintahan Khalifah Uthman. Yang kaya bertambah kaya, manakala yang miskin bertambah miskin. Pada Abu Dzar, ini merupakan satu penindasan dan kezaliman yang tidak boleh dibiarkan.
Beliau berpegang pada ayat Al-Quran “Dan orang-orang yang menyimpan emas dan perak dan tidak menafkahkan pada jalan Allah, maka beritahukanlah kepada mereka akan siksa yang pedih…” Surah at-Taubah ayat 34-35.
Dalam buku ini menerangkan bahawa Islam terancam dan menghadapi satu bahaya besar bila berada di bawah tampuk pemerintahan Uthman Ibn Affan. Islam itu berubah dari tunjuk ajar, adab dan akhlak yang dibawa dan disebarkan oleh Nabi SAW. Islam itu berubah dari kesederhanaan dan cermatnya semasa pemerintahan Saidina Abu Bakar dan Umar Al-Khattab. Kedua-dua figura ini digambarkan menjalani kehidupan sebagai rakyat kebanyakkan, bahkan miskin dan papa semasa pemerintahan mereka. Disebutkan secara khusus bahawa Abu Bakar memerah susu kambing seorang wanita Yahudi untuk mendapatkan upahnya pada hari tu. Umar Al-Khattab pula mengheret anak seorang komandannya ke muka pengadilan kerana menggunakan seekor kuda di bawah jabatan ayahnya tanpa mendapat keizinan. Sedangkan Uthman mengangkat Marwan bin Hakam iaitu orang yang telah diasingkan oleh Nabi SAW - menjadi penasihat beliau dalam urusan pentadbiran.
Abu Dzar menjadi saksi dan seluruh tontonan yang memalukan ini. Beliau bangkit dan kebangkitan ini menjadi penyebab utama dalam pemberontakan di seluruh negeri-negeri Islam melawan Uthman Ibn Affan.
Abu Dzar percaya bahawa Islam adalah sebagai tempat perlindungan bagi orang-orang yang tidak berdaya, Islam juga adalah wadah bagi rakyat-rakyat jelata yang tertindas, Sedangkan Uthman menjadikan Islam sebagai alat kapitalisme dan benteng memelihara kepentingan orang-orang kaya dan aristokrat.
Di dalam buku berharga ini juga menceritakan penderitaan hidup Abu Dzar dipembuangan, yang mana beliau terpaksa hidup di gurun sahara yang gersang dan mengakhiri riwayat hidupnya dengan mati kelaparan. Nabi pernah bersabda bahawa “beliau akan berjalan sendirian, meninggal sendirian dan akan dibangkitkan sendirian”. Buku ini sangat memberi manfaat kepada mereka yang kehausan sejarah peribadi mukmin, kerana ia akan memotivasikan kita agar mencontohi ketabahan dan keyakinan Abu Dzar suara parau menentang penindasan.
No comments:
Post a Comment