Monday, October 1, 2012

Sahabat Mutawif : Pak Yazid


Pak Yazid adalah salah seorang mutawif untuk umrah/haji di syarikat Zahafiz Travel & Tour Sdn. Bhd. Hubungan aku dengan Pak Yazid boleh dikatakan sebagai kenalan rapat semasa aku menunaikan umrah pada Jun lalu. Ini kerana sepanjang di sana, baik di kota Madinah mahupun  Mekah, kami ditakdirkan tinggal sebilik. Maka, banyaklah perkara-perkara yang boleh dikongsi bersama. Bermula dari cerita mengenai keluarga, sehinggalah hal-hal berkenaan dengan ibadah di tanah haram. Sebagai tanda persahabatan beliau menghadiahkan aku tasbih untuk mengelilingi Ka’abah. Katanya, bagi memudahkan aku mengira bilangan pusingan bila bertawaf nanti. Aku senang bersama dengan Pak Yazid bukan sahaja kerana beliau baik dan mudah didekati malah beliau juga bersifat terbuka dengan apa saja soalan yang aku ajukan.

Selepas pulang dari umrah, aku selalu juga menelefon kawan-kawan mutawif yang lain termasuklah Pak Yazid sekadar bertanya khabar. Teringat pada satu malam di tanah haram lepas Isya’, Haji Azman, Pak Yazid dan beberapa kawan pelajar dari Universiti Al-Azhar (pembimbing umrah) menjemput aku bersama-sama makan malam di Souq Aziziah.  (Souq Aziziah terletak di tanah halal lebih kurang 30 minit perjalanan menaiki kereta dari Al-Haram). Oleh sebab kerana keakraban mereka semua pada aku, maka aku berniat untuk belanja diaorang pula bila pulang nanti.

Seminggu sebelum Ramadhan, bertempat di masjid biru Shah Alam, D'Arab Cafe kami bertemu semula. Bersembang dan bercerita sambil menyenduk nasi mandey berlaukkan kambing yang sedap dan menyelerakan. pada ketika itu timbul suasana yang selesa dan akrab. Aku teringat Pak Yazid mencuit aku...

Pak Yazid     
Sebelum Ramadhan ni, aku ke Mekah semula …. bertugas iring jemaah umrah.

Aku              
Alhamdulillah beruntung Pak Yazid! pegi berapa lama?

Pak Yazid 
tak tau lagi.. katanya kena ada sana sampai habis musim haji, sambung menguruskan jemaah haji pulak, mungkin balik akhir November kot. Aku bawak bini sekali.

Aku                 
seronoknya Pak Yazid oii.. sambil bertugas dapat sama-sama berjemaah di Al-Haram. Alhamdulillah!   saya tumpang gembira. Jangan lupa minyak atar untuk saya, kalau tak pun jubah Al-Haramain pun jadilah bila balik nanti! hahaha… (aku berseloroh)

Semalam aku dapat telefon dari sahabat mutawif mengatakan Pak Yazid meninggal dunia pada petang sabtu 29/9. Beliau meninggal di Mekah semasa bertugas, mayat telah diuruskan dan disembahyangkan di masjid Al-Haram dan dikebumikan di tanah perkuburan Ma’ala.

Innalillah.. Moga roh arwah dicucuri rahmat. Amin

No comments: