Tuesday, September 18, 2012

Essence of Islam


Dari beberapa buku, naskhah atau jurnal melalui pembacaan aku yang sedikit ni, dapat aku perhatikan bahawa permulaan perbahasan atau tulisan dari kebanyakan penulis seni Islam, cuba memberi takrifan makna Islam itu setepat mungkin kepada pembaca. Tak kiralah dalam bentuk ilmiah (yang mempunyai rujukan) ataupun tidak. Mereka berpendapat jika kita mampu menggali intipati Islam, kita lebih mudah ‘identify’ intipati dari seni Islam dan menggunakannya sebagai kriteria untuk menilai seni Islam itu sendiri.

Secara tak langsung, aku bersetuju dengan pendapat ini kerana bagi aku bila kita membicarakan tentang Islam, kita membicarakan sebuah agama yang berbeza dengan agama-agama lain. Ketika kita membincangkan tentang seni Islam, kita pun juga membincangkan seni yang berbeza dengan bentuk-bentuk seni lainnya. Oleh itu, apabila kita dapat mengenalpasti sifat-sifat khas ini, InsyaAllah, kita akan dapat mengetahui dengan tepat apa itu seni Islam.  

Persoalannya: Apakah ada intipati atau essence dalam Islam?. Soalan ini yang menjadi satu tanda tanya yang besar bagi para pengkaji atau sarjana yang cuba mencari jawapannya. Aku pun tengah mencari..

Aku tertarik dengan pandangan seorang pemikir Islam terkenal, Seyyed Hossein Nasr, berhujah bahawa pusat Islam itu terdapat Ka’abah, yang dilihat sebagai peranan utama sebagai membezakan Islam dan juga seni Islam dari agama lain. Dia menyatakan dalam bukunya, Science and Civilization:  “Simbol peradaban Islam bukanlah sebuah sungai yang mengalir, melainkan kubus Ka’abah, yang kestabilannya menggambarkan karakter Islam yang kekal dan abadi”.

Nah! aku tertarik dengan hujah ini. Aku berminat untuk menekuni pandangan Sayed Hossein Nasr ini.

Ka’abah, secara harfiahnya bermaksud kubus, sebuah batu granit besar di Mekah yang menjadi titik pusat ritual bagi umat Islam dari seluruh dunia. Allah SWT telah memerintahkan langsung kepada Nabi Ibrahim AS dan Nabi Ismail AS untuk mendirikannya di tempat yang sedia ada sekarang. Berhampiran Ka’abah terdapat juga telaga air zam-zam dan dua bukit suci iaitu Safa dan Marwa.  

Seiring dengan perjalanan waktu, amalan-amalan ritual Nabi Ibrahim di sekitar Ka’abah semakin lama semakin pudar oleh pengaruh anasir jahiliah yang berkemungkinan datang dari laluan kabilah yang menuju ke kota Mekah pada waktu itu. Pada zaman pra-Islam dahulu, para pengunjung kota Mekah tidak hanya mengunjungi Ka’abah dan Hajarul Aswad sahaja, tetapi mereka juga mengunjungi berhala-berhala batu yang mewakili dewa-dewa yang berbeza yang ditempatkan di dalam dan di sekitar Ka’abah. Dikatakan terdapat 360 buah patung berhala yang setiap satunya mewakili dewa-dewa yang berbeza. Antaranya patung berhala bernama Auf, Hubal, Manath, Latha dan Uzza serta banyak lagi.

Pada 8H/630 M, Nabi Muhammad SAW setelah menakluk bumi Mekah telah menghancurkan 360 buah patung-patung berhala tersebut dan menjadikannya sebagai sebuah pusat agama umat Islam berdasarkan kepada keyakinan bahawa beliau adalah utusan Allah SWT dan memulihkan kembali amalan-amalan ritual yang telah dibangunkan oleh Nabi Ibrahim AS pada hari pertama Ka’abah didirikan.

Apabila kita memperkatakan mengenai Masjid Al-Haram, Baitullah atau Ka’abah pastinya ia akan dikaitkan dengan ibadah haji. Rukun Islam yang kelima ini adalah kewajiban yang harus dilaksanakan oleh semua orang dewasa lelaki dan perempuan sekiranya mampu. Ibadah haji ini merangkumi beberapa amalan ritual yang perlu dipenuhi bagi melengkapkan ibadah haji seperti berihram, tawaf, saie, melakukan ibadah-ibadah suci lain di sekitar Mekah seperti di Mina, Muzdalifah, Arafah dan kembali ke Ka’abah pada hari terakhir.

Di negara-negara luar Tanah Arab ataupun negara-negara lain, para jemaah haji yang telah selesai menunaikan rukun kelima ini menggunakan berbagai macam tanda yang menunjukkan bahawa mereka telah menunaikan ibadah haji. Tanda-tanda yang cuba ditonjolkan adalah seperti meletakkan gambar Ka’abah didinding rumah mereka, gambar-gambar pemandangan kenderaan yang mengangkut  jemaah menuju ke tempat suci, mengecat pintu rumah dengan warna hijau muda serta mengenakan kopiah dan serban yang juga berwarna hijau. Diriwayatkan bahawa hijau adalah warna kesukaan baginda Nabi SAW.

Tetapi apakah bentuk dan fizikalnya (Ka’abah) juga ada maksudnya?. Sememangnya bentuk Ka’abah memberi maksud dan erti yang tersendiri. Nama ‘Ka’abah’ itu sendiri telah mewakili bentuknya, yang bermaksud ‘kiub’. Namun, apabila kita teliti dengan sebaiknya terdapat juga beberapa ritual penting yang berkaitan dengan ibadah haji yang menekankan bentuk yang berbeza seperti putaran, bukit, air dari mata air dan seterusnya. Semua ini menjadi simbol Islam penting dalam beberapa segi, khususnya dalam sufisme, dan simbol-simbol yang dapat mewakili Islam sebagaimananya Ka’abah. Memaparkan sejarah dan fungsi Ka’abah menunjukkan kenyataan betapa dominannya Ka’abah bagi umat Islam, tetapi keutamaannya bukan kerana bentuk bangunannya. Ka’abah memang sebuah kiub atau kubus yang dominan, tetapi kedominannya bukanlah semata-mata kerana ia sebuah kubus.

Kesimpulannya boleh dikatakan bahawa jika seseorang menekuni dan meneliti perkara-perkara bersangkut-paut mengenai Islam tidak kira pada masa sekarang mahupun pada masa lampau, pasti tidak mudah bagi seseorang itu menterjemahkan karakter Islam yang kekal dan abadi. Abdul Hadi W.M juga sejajar dengan pandangan ini dan dapat dilihat dalam tulisan beliau berkenaan isu esensialisme.

Dari satu sisi, tentu saja pandangan Nasr betul berkenaan intipati agama Islam harus berbeza berbanding dengan agama-agama lain, dan pastinya ada sesuatu yang khas berkenaan agama tersebut yang membuatnya berbeza, dan ciri khas ini harus menjadi sesuatu yang tidak berubah.  Adalah amat sukar untuk dipastikan dan ditafsirkan sekiranya kita melihat perkara ini dari dalam konteks sekelompok fahaman Islam sahaja, iaitu fahaman dan ideologi yang berbeza dari sekolah pemikiran (school of thought) masing-masing.

Aku yakin dan pasti ada satu intipati dalam Islam, iaitu sesuatu yang dominan dan umum yang merangkumi semuanya yang boleh menyatukan persoalan ini, tetapi bak kata Wittgensteinsondern schau” - “ … dan jika kita melihat, kita tidak menemukan apa yang ingin kita temukan… (Philosophical Investigations)


No comments: